REMAJA berusia 18 tidak boleh mengundi sebelum 31 Disember tahun ini disebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum bersedia melaksanakannya. FOTO Arkib NSTP
REMAJA berusia 18 tidak boleh mengundi sebelum 31 Disember tahun ini disebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum bersedia melaksanakannya. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Ahli politik harus berhenti memutar belitkan isu Undi 18 kerana ia hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, remaja berusia 18 tidak boleh mengundi sebelum 31 Disember tahun ini disebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum bersedia melaksanakannya.

Menurutnya, apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, ia disusuli dengan pendaftaran pengundi secara automatik.

"Justeru, terdapat banyak aspek pelaksanaan dan sistem yang perlu SPR selesaikan iaitu mengenai hal logistik, pendaftaran pemilih serta pengemaskinian daftar pemilih.

"SPR belum bersedia untuk itu khususnya pelaksanaan berkaitan sistem. Ia bukan kerana kerajaan takut untuk membenarkan remaja berusia 18 tahun mengundi (pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Randau Bersama Pemimpin Peringkat Parlimen Santubong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, selepas pindaan rang undang-undang pada 2019, SPR diberi kerangka sehingga 2023 untuk menyiapkan proses itu iaitu menjelang rancangan asal untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Berdasarkan tempoh ditetapkan itu, proses itu dijangka disiapkan menjelang September 2022 supaya sistem berjalan lancar.

"Namun banyak perkara berlaku sejak itu, daripada pertukaran kerajaan kepada ancaman wabak Covid-19, yang mengganggu proses pelaksanaannya," katanya.

Katanya, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik akan menyaksikan peningkatan lebih 40 peratus atau 6.1 juta dalam jumlah pengundi kepada 21.2 juta daripada 14.9 juta pemilih yang didaftarkan pada PRU-14 yang lalu.

"Berikutan itu, SPR akan menghadapi tugas besar untuk membersihkan senarai itu bersama-sama dengan agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara untuk memastikan hanya mereka yang layak mengundi berada dalam senarai.

"Daftar pemilih mesti dikemas kini untuk menyingkirkan mereka yang sudah meninggal dunia, jatuh sakit, hilang akal atau dipenjarakan. Begitu juga dengan mereka yang berusia 90 tahun ke atas yang jumlahnya melebihi 7,000 orang tidak dikeluarkan daripada rekod daftar pemilih," katanya.

Satu lagi cabaran yang dihadapi SPR katanya, hasil daripada pendaftaran automatik adalah mengecualikan segmen tertentu masyarakat yang tidak layak disenaraikan dalam daftar pemilih.

"Ini adalah proses yang agak mencabar kerana SPR perlu berunding dengan banyak pihak mengenai perkara itu. Ini juga termasuk pindaan peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia satu proses yang memakan masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 4:38 PM