FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik sudah diwartakan pada 1 Disember.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu akan berkuat kuasa pada 15 Disember ini setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, pindaan kepada perundangan subsidiari berkaitan pilihan raya iaitu Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)(Pindaan) 2021 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya)(Pindaan) 2021 sudah diwartakan pada 30 November lalu.

"Pindaan ini akan berkuat kuasa pada 15 Disember setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Seksyen 17 Akta Pilihan Raya 1958," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, SPR akan membentangkan kedua-dua pindaan peraturan-peraturan itu dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 dalam masa terdekat.

Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 menyatakan pindaan terhadap umur bagi warganegara yang layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Sebelum ini, cadangan pindaan itu telah diluluskan pada mesyuarat kedua sesi kedua Parlimen ke-14 pada Julai 2019, namun tidak dilaksanakan.

Pada 7 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan SPR melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember ini bagi mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.

Pada 6 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:19 PM