Hairulazim Mahmud


PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November depan bakal menyaksikan calon berusia 18 tahun dibenarkan bertanding untuk pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara.

Ia berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 berkaitan perubahan usia calon dari 21 tahun dikurangkan kepada 18 tahun sudah dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan berkaitan usia mengundi 18 tahun belum dikuatkuasakan walaupun sudah diwartakan.

“Jadi pengundi berusia 18 tahun belum boleh mengundi pada PRK Tanjung Piai kerana belum dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR di Putrajaya, hari ini.

Pindaan Artikel 47 dan 119 Perlembagaan Persekutuan mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong pada 4 September lalu dan diwartakan pada 10 September lalu.

Pada 16 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Turut dipinda penurunan usia warganegara layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

SPR hari ini menetapkan PRK bagi Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diadakan pada 16 November ini.

Manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November sementara tarikh mengundi awal adalah pada 12 November.

AZHAR menunjukkan peta kawasan PRK Parlimen 165 Tanjung Piai, Johor. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
AZHAR menunjukkan peta kawasan PRK Parlimen 165 Tanjung Piai, Johor. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 1:34 PM