NORHIZAM Hassan Baktee. FOTO arkib NSTP
NORHIZAM Hassan Baktee. FOTO arkib NSTP
Hassan Omar


AHLI politik kontroversi, Datuk Norhizam Hassan Baktee akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menggunakan akaun Facebook (FB) palsu untuk memfitnahnya.

Kata Norhizam, tindakan itu diambil berikutan perlakuan pihak terbabit yang disifatkannya sebagai sudah melampaui batas dan boleh menyebabkan warganet menganggapnya sebagai pemimpin tidak bertanggungjawab.

“Dia (pemilik akaun palsu) sudah melampau, dia cipta akaun palsu dengan menggunakan nama dan gambar saya untuk menghantar kenyataan yang kononnya kenyataan saya.

“Kononnya saya marah pemimpin PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan juga kononnya ada pemimpin PKR menggunakan wang untuk meraih sokongan menjadi PM (Perdana Menteri),” katanya dihubungi hari ini.

Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri berkata, pemilik akaun itu mendakwa rakyat akan menolak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kerana pemimpinnya menggunakan wang berjuta ringgit untuk tujuan politik.

Bagaimanapun, Norhizam mengatakan yang setakat ini, dia belum membuat laporan polis berhubung tindakan pemilik akaun itu.

Sehubungan itu, Norhizam meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Norhizam mendakwa, selain akaun berkenaan, ada sekurang-kurangnya empat lagi pihak yang menggunakan akaun palsu dengan menggunakan nama dan gambarnya seolah-olah beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak memberi sumbangan kepada negeri ini.

“Saya bekerja untuk rakyat pagi, petang, siang dan malam tetapi selepas apa yang saya korbankan selama ini, inikah yang saya dapat?” katanya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 2:52 PM