SEBAHAGIAN calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu menduduki peperiksaan SPM, November lalu. FOTO Zaman Huri Isa.
SEBAHAGIAN calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu menduduki peperiksaan SPM, November lalu. FOTO Zaman Huri Isa.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 akan dikeluarkan pada 5 Mac ini dan calon boleh memperoleh keputusan di sekolah masing-masing bermula 10 pagi.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, semakan keputusan boleh dibuat menerusi perkhidmatan mySMS dengan menaip SPMAngka Giliran dan menghantar SMS ke 15888.

Menurutnya, perkhidmatan itu akan mula diaktifkan pada 10 pagi pada 5 Mac depan dan ditamatkan pada 6 petang 11 Mac.

“Calon boleh menyemak keputusan menerusi portal Lembaga Peperiksaan Malaysia di sppat.moe.gov.my/semakan.

“Manakala bagi calon persendirian akan dimaklumkan menerusi pos atau boleh terus berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan,” katanya.

Bagi SPM 2019, seramai 416,416 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di seluruh negara dengan 357,010 calon adalah sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Selain itu, 8,320 calon di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah menengah agama negeri (8,317 calon), sekolah menengah agama rakyat (2,209 calon), sekolah swasta (14,203 calon) manakala calon persendirian (26,357 calon).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 12:01 PM