PENDUDUK setempat mengumpulkan sampah berjumlah 181.6 kilogram yang dikutip sempena program Save Our Sea di Pantai BNO. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
PENDUDUK setempat mengumpulkan sampah berjumlah 181.6 kilogram yang dikutip sempena program Save Our Sea di Pantai BNO. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


DALAM tempoh setengah jam, sebanyak 181.6 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi Program ‘Save Our Sea’ anjuran Jabatan Perikanan Selangor bersama ahli myKomuniti Perikanan (myKP) di Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO) di Sabak Bernam hari ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, program yang julung kali diadakan itu bertujuan mengutip sampah di kawasan pantai itu selain mendidik masyarakat untuk bersama-sama menjaga kebersihan.

Menurutnya, selain membersihkan kawasan pantai, tujuh penyelam yang terdiri daripada ahli myKP dan kakitangan Jabatan Perikanan bekerjasama membersihkan tukun berhampiran kelong rekreasi memancing di kawasan itu.

“Selain bertujuan membersihkan pantai, objektif program adalah untuk memupuk sifat tanggungjawab di kalangan masyarakat dan kakitangan supaya bersama menjaga alam sekitar,” katanya selepas program itu hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 50 pokok bakau turut ditanam di perairan Pantai BNO bagi membantu melestarikan ekosistem bakau yang menjadi habitat dan pembiakan ikan sekali gus menghalang hakisan pantai.

Ahli myKP BNO yang juga nelayan, Mohd Fadil Rusni, 43, berkata, pantai berkenaan adalah kawasan yang sering menjadi tumpuan pengunjung untuk menikmati keindahan kawasan pantai di situ.

“Biasanya pengunjung akan mengambil peluang untuk berkunjung ke kawasan pantai menikmati keindahan dan bergambar.

“Menjadi tanggungjawab masyarakat memastikan kawasan pantai sentiasa bersih sekali gus dapat menjaga imej pantai itu sendiri, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 6:53 PM