Datuk Seri Dr Awaluddin Said (baju cerah) melepaskan benih udang galah dan ikan di Sungai Timun Rembau semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
Datuk Seri Dr Awaluddin Said (baju cerah) melepaskan benih udang galah dan ikan di Sungai Timun Rembau semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Rembau: Sungai Timun di sini, bakal menjadi destinasi 'lubuk' udang galah susulan usaha Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) meningkatkan populasi udang galah sekali gus memberi sumber rezeki kepada nelayan.

Ketua Daerah Perikanan Rembau/Tampin, Md Johari A Latif, berkata, lebih daripada 1.5 juta benih udang galah sudah dilepaskan di sungai berkenaan sejak awal tahun ini.

"Dalam masa sama kami turut melepaskan lebih 200,000 benih ikan antaranya baung dan lampam sungai.

"Ia dapat memastikan populasi udang dan ikan di sungai ini tidak terjejas sekali gus dimanfaatkan komuniti nelayan termasuk penduduk sekitar," katanya selepas majlis pelepasan 3,000 benih ikan lampam sungai dan baung sempena Program Sepakat@Komuniti Daerah Rembau di Jeti Pangkalan Nelayan Sungai Timun di sini, tadi.

Majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said dan hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad.

Pada program berkenaan, seramai 38 ahli MyKomuniti Perikanan (MyKP) turut menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada badan bukan kerajaan (NGO) iaitu MyFundAction, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin dan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Md Johari berkata, pendapatan sumber nelayan di Sungai Timun turut terjejas sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini susulan aktiviti menyewa bot tidak dapat dijalankan.

Beliau berkata, Sungai Timun adalah lokasi tumpuan pemancing bukan sahaja dari kalangan penduduk negeri ini malah dari luar terutama Lembah Klang, Melaka dan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:28 PM