Mohd Amin Jalil


Tampin: Nasib nelayan darat terbela apabila Jabatan Perikanan Negeri Sembilan melepaskan lebih 100,000 ekor benih ikan air tawar dan udang galah di perairan Ulu Sungai Muar di sini, tahun ini.

Ketua Daerah Perikanan Tampin / Rembau, Md Johari A Latif berkata, program pelepasan benih ikan dan udang itu bagi menambah stok sumber perikanan darat di perairan sungai berkenaan.

"Sejak awal Januari hingga kini, kami sudah melepaskan lebih 100,000 benih ikan dan udang galah secara berperingkat di Ulu Sungai Muar ini.

"Antara benih ikan itu termasuk lampam sungai, terbul, baung, loma, petutu dan sebarau.

"Kami perlu pastikan stok sumber perikanan di sungai ini kekal baik untuk manfaat nelayan di daerah ini," katanya selepas majlis pelepasan 15,000 benih ikan membabitkan 10,000 ekor benih ikan lampam sungai dan 5,000 ikan terbul di Kampung Panjis, Pasir Besar, Gemas, di sini, tadi.

Turut hadir Pengerusi Program MyKomuniti Perikanan (MyKP) Kampung Londah, Ahmad Ujang.

Md Johari berkata, bekalan benih ikan berkenaan diperoleh daripada Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar Perlok, Jerantut Pahang.

Menurutnya, ketika ini terdapat seramai lapan nelayan darat dari kampung berkenaan yang berlesen dengan jabatan itu manakala sekitar 30 orang lagi adalah nelayan sambilan.

Katanya, setiap nelayan terbabit mampu memperoleh pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan hasil tangkapan dan jualan ikan darat di sungai berkenaan.

"Ikan darat seperti baung dan lampan selain udang galah mendapat permintaan tinggi di pasaran yang boleh dijual pada harga antara RM25 hingga RM60 sekilogram.

"Jabatan terus komited membantu memastikan pendapatan nelayan tempatan meningkat dan akan tetap berusaha mencapai sasaran pelepasan benih ikan di sungai ini setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:16 PM