PELAJAR diberi peluang membersihkan badan penyu.
PELAJAR diberi peluang membersihkan badan penyu.
PELAJAR UniKL MIMET mengangkat seekor penyu jenis agar yang dipasang peranti satelit.
PELAJAR UniKL MIMET mengangkat seekor penyu jenis agar yang dipasang peranti satelit.
PENYU yang dipasang peranti satelit bergerak ke laut.
PENYU yang dipasang peranti satelit bergerak ke laut.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Jabatan Perikanan Negeri Perak dengan kerjasama Malakoff Corporation Berhad (Malakoff)menganjurkan Program Kenali Penyu, Sayangi Penyu di Pusat Konservasi dan Pemuliharaan Penyu, Pasir Panjang, Manjung, Perak, baru-baru ini.

Ia disertai 24 pelajar dan kakitangan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET).

Ketua Cawangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Jabatan Perikanan Negeri, Kassim Tawe berkata, pihaknya mempergiatkan usaha pengurusan dan perlindungan reptilia itu apabila menyedari bilangan penyu yang mendarat di Pantai Pasir Panjang semakin berkurangan.

Menurutnya, dalam usaha memastikan sejarah perjalanan reptilia itu, pihaknya memasang transmitter pada induk penyu bagi mengetahui perjalanan reptilia itu bagi tujuan tinjauan dan penyelidikan sebelum ia dilepaskan ke laut.

“Selain itu, ia mempertingkatkan penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 berkaitan penyu yang diwartakan kerajaan negeri dan mewartakan kawasan utama pendaratan penyu sebagai santuari seperti di Rantau Abang dan pulau-pulau di Sabah.

“Pelbagai projek dan program akan dipergiatkan seperti penetasan serta perlepasan anak-anak penyu ke laut.

“Meningkatkan program pendidikan dan penerangan berkaitan penyu di pusat penerangan penyu,” katanya.

Kassim berkata, Jabatan Perikanan turut meningkatkan penyelidikan penyu antaranya kajian penggunaan peranti penyu (JETD) pada pukat tunda serta kajian pengesanan migrasi penyu menggunakan telemetri satelit.

“Justeru itu, nelayan digalakkan menyertai anggota Sukarelawan Perikanan (SUPER) bagi membantu memantau aktiviti pencerobohan di laut selain menjaga kehidupan spesies penyu.

“Ini kerana nelayan berada di laut hampir 24 jam dan ini diharap dapat membantu kerajaan memantau dan memaklumkan jika ada penyu yang tersangkut atau mati di tengah laut bagi mengelakkan spesies itu terancam.

“Sehingga kini, 40 nelayan sudah menganggotai pertubuhan berkenaan sejak ia diperkenalkan pada tahun lalu di seluruh negara dan 18 nelayan menjadi ahli SUPER di kawasan perairan Teluk Senangin manakala 12 nelayan terbabit di kawasan Perak Tengah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata, pelepasan penyu betina jenis agar atau penyu hijau berusia lebih 30 tahun yang dipasang peranti pengesan bersatelit bagi mengumpul data dan maklumat penghijrahan penyu yang bertelur di Pantai Segari.

“Hasil kajian tahun lalu mendapati penyu itu berkongsi perairan di Sumatera, Indonesia dan Malaysia.

“Alat peranti itu berfungsi sama seperti tag untuk mengetahui sejarah penyu yang dipantau melalui satelit untuk mengesan kedudukan dan perjalanan reptilia itu namun ia agak sensitif dengan benda keras,” katanya.

Pengurus Logi Janakuasa Lumut Malakoff Abdul Rahman berkata, program kali keempat dianjurkan bersama Jabatan Perikanan sebagai satu daripada usaha dan komitmen meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dalam penjagaan alam sekitar dan reptilia terancam itu.

“Kami membawa generasi muda untuk bersama-sama terbabit secara aktif dalam usaha pemuliharaan dan perlindungan spesies ini,” katanya.

Pelajar, Mohd Faizal Mohd Hanafiah, 22, mengakui teruja dengan pengalaman pertamanya memegang anak penyu dan membersihkan cengkerang penyu.

“Saya bukan saja diberi peluang memegang dan membersihkan penyu, saya turut mendapat pelbagai maklumat baru dan lebih peka mengenai spesies terancam dan semakin pupus itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 10:51 AM