Mohd Khalil  menunjukkan anak penyu yang ditempatkan di tangki asuhan.
Mohd Khalil menunjukkan anak penyu yang ditempatkan di tangki asuhan.
Noor Hidayah Tanzizi

Seri Manjung: Saiz anak penyu yang baru tiga hari menetas hanya sebesar tapak tangan kanak-kanak berusia empat tahun.

Dengan saiz yang terlalu kecil, jangka hayat dan keupayaan anak penyu untuk bertahan di lautan yang luas sangat membimbangkan.

Menyedari perkara itu, Jabatan Perikanan Perak mengambil inisiatif menggunakan konsep asuhan sebelum melepaskan anak penyu ke laut.

Usaha itu juga antara agenda pemuliharaan spesies penyu yang dilakukan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pasir Panjang, Segari, di sini.

Pusat berkenaan mula dibuka pada 1990 dan pusat tunggal di Malaysia yang membuat asuhan anak penyu yang juga haiwan vertebrata marin dalam kelas reptilia.

Pusat berkenaan terletak berhampiran pantai Pasir Panjang sepanjang kira-kira 5.6 kilometer bermula dari Sungai Gelam hingga ke Sungai Puyu yang menjadi lokasi strategik pendaratan penyu bertelur.

Ketua Pusat Konservasi Penyu Jabatan Perikanan Perak, Mohd Khalil Mohamad berkata, pusat berkenaan mempunyai enam tangki asuhan yang menempatkan anak penyu yang baru menetas.

Mohd Khalil memberi makan kepada anak penyu yang ditempatkan di tangki asuhan anak penyu.
Mohd Khalil memberi makan kepada anak penyu yang ditempatkan di tangki asuhan anak penyu.

“Telur akan dikutip serta dikumpulkan sebelum dieram di tapak penetasan dan suhu berperanan untuk mendapatkan jantina anak penyu.

“Suhu rendah iaitu 29 darjah Celsius ke bawah untuk jantan manakala suhu tinggi, 29 darjah Celsius ke atas bagi betina dan masa menetas bagi anak penyu jantan lebih lama iaitu 60 hari berbanding betina hanya 45 hari.

“Selepas itu, anak penyu akan diletakkan di tangki asuhan selama empat hingga lima bulan sebelum dilepaskan ke laut,” katanya.

Menurutnya, asuhan itu bertujuan meningkatkan keupayaan anak penyu untuk bertahan di laut dengan saiz badan yang besar sedikit berbanding ketika baru saja menetas.

 Tapak penetasan telur di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pasir Panjang, Segari.
Tapak penetasan telur di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pasir Panjang, Segari.

“Di tangki asuhan ini anak penyu diberikan makanan tiga kali sehari seperti isi ikan dan pelet ikan yang mengandungi rumusan makanan lengkap termasuk vitamin.

“Ini satu usaha pemuliharaan biarpun ia membabitkan kos yang agak tinggi, kita prihatin dengan perkara ini dengan harapan tahap ketahanan dapat ditingkatkan,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pusat berkenaan mempunyai lebih 500 ekor penyu termasuk anak penyu dan menempatkan penyu daripada spesies Karah, Agar atau Hijau termasuk seekor penyu Lipas.

Katanya, kawasan pantai berkenaan menjadi lokasi pendaratan penyu spesies Hijau dan Lipas untuk bertelur, namun ketika ini penyu Lipas sudah tidak mendarat di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Penyu Lipas sudah tidak naik di sini berkemungkinan spesies itu berhijrah, namun kita tidak membuat kajian mengenainya,” katanya.

 Anak penyu   ditempatkan di tangki asuhan untuk membantu meningkatkan tahap ketahanan di laut.
Anak penyu ditempatkan di tangki asuhan untuk membantu meningkatkan tahap ketahanan di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 9:58 AM