MANGSA lemas di Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
MANGSA lemas di Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


KAKITANGAN hotel lemas ketika mandi di Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi, petang tadi.

Dalam kejadian 6.50 petang itu, mangsa, Ahmad Naufal Nordin, 21, dilaporkan lemas ketika mandi bersendirian di pantai awam itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 7 malam.

“Sejurus itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, komander operasi melaporkan ketika kejadian mangsa mandi bersendirian di pantai itu.

“Difahamkan, mangsa cuba diselamatkan oleh orang awam tetapi gagal.

“Pasukan bomba yang melakukan pencarian permukaan air menemui mayat mangsa yang dihanyutkan ombak ke pesisir pantai,” katanya.

Beliau berkata, mayat ditemui pada jarak kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 10:37 PM