LAPORAN terdahulu.
LAPORAN terdahulu.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Wanita yang hilang dalam insiden kepala air di Air Terjun Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, di sini petang tadi, ditemukan lemas.

Sebelum itu, pasukan penyelamat menemui mayat rakannya iaitu wanita warga China berusia 55 tahun pada 6.19 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa kedua berusia 52 tahun itu warga tempatan dan ditemui pada 10.20 malam.

Katanya, mayat dijumpai di celah batu pada jarak 50 meter dari lokasi penemuan mangsa pertama.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat diserahkan kepada polis, sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa ditamatkan sepenuhnya pada 11 malam.

Media sebelum ini melaporkan wanita ditemui lemas, manakala seorang lagi hilang dibawa arus selepas mandi manda di Air Terjun Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu.

Pasukan penyelamat menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 5.30 petang, dengan mayat wanita pertama ditemui 200 meter dari lokasi hanyut.

Mohamadul Ehsan berkata, kedua-dua mangsa adalah sahabat dan melakukan aktiviti itu berdua, manakala ketika kejadian, hujan hanya berlaku di kawasan hulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 11:18 PM