MAS Ermieyati menyerahkan cenderahati kepada pengamal media pada majlis Iftar Bersama-sama Media di Ayer Keroh sambil diperhatikan oleh Amir Mamat (belakang, tiga dari kanan), malam tadi. FOTO Hassan Omar
MAS Ermieyati menyerahkan cenderahati kepada pengamal media pada majlis Iftar Bersama-sama Media di Ayer Keroh sambil diperhatikan oleh Amir Mamat (belakang, tiga dari kanan), malam tadi. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Ayer Keroh: Hanya RM12.9 juta daripada keseluruhan RM50 juta Skim Pembiayaan Informal (SPIN) yang disediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sudah diagihkan pada suku pertama tahun ini.

Ia diberikan kepada 2,154 pemohon dan masih berbaki RM37.1 juta lagi yang harus diagihkan sepanjang tahun ini bagi membantu usahawan informal.

Menjelaskannya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, tidak ramai usahawan terbabit yang terjejas akibat pandemik Covid-19, memohon pinjaman mudah itu.

"Ini kerana mereka tidak memahami atau tidak tahu mengenai kewujudan SPIN yang disediakan sejak November lalu, katanya.

"Setakat ini hanya 2,154 usahawan informal sudah menerima manfaat SPIN yang menyediakan pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000 khusus bagi membantu mereka menjalankan perniagaan, terutama yang terkesan akibat pandemik.

"Pemohon hanya perlu menyertakan salinan MyKad, salinan akaun sebulan dan bil utiliti serta permohonan diproses dalam tempoh tujuh hari," katanya selepas majlis Iftar bersama media malam tadi.

Turut hadir, Ketua Eksekutif (CEO) TEKUN, Datuk Adam Abdul Ghani dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat.

Usahawan informal ialah mereka yang terbabit dalam perniagaan bersaiz kecil yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, dengan menyediakan tempoh pembayaran balik pinjaman selama 36 bulan, lebih ramai usahawan informal harus merebut peluang berkenaan bagi memastikan mereka mampu bertahan dalam perniagaan.

Katanya, bantuan modal SPIN secara tidak langsung mendorong usahawan terbabit untuk mengembangkan perniagaan dan mendaftar dengan SSM.

Beliau berkata, data MEDAC merekodkan ada 1.2 juta usahawan informal pada 2019 berbanding yang berdaftar seramai 900,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:37 PM