Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu di atas tanah milik kerajaan di Jalan Jeti dekat sini, akhirnya kilang papan itu dirobohkan menerusi operasi bersepadu hari ini.

Operasi yang diketuai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang itu turut dibantu oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penolong Pegawai Daerah (Teknikal dan Penguatkuasaan), Saiful Azri Mohd Fouzi berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk Taman Telok Gedung Indah berhubung aktiviti pembuangan sampah haram, pencemaran sungai dan pencemaran bau di atas lot tanah itu pada November 2018.

"Siasatan ke atas tapak ini mendapati, terdapat kesan tapak pelupusan sampah lama, struktur binaan stor, rumah pekerja dan kilang papan turut dibina tanpa kebenaran.

"Justeru, Pentadbir Tanah Klang sudah mengeluarkan Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara 1965 sebanyak tiga kali iaitu pada 4 Disember 2018, 15 Januari 2019 dan 3 Februari lalu kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tapak.

"Keluasan tanah yang diceroboh adalah sekitar 4,418.8 meter persegi yang membabitkan binaan kilang papan (2,976.5 meter persegi), dan lain-lain binaan adalah stor simpanan barang, rumah pekerja dan pondok sembahan (shrine)," katanya ketika ditemui pada operasi merobohkan struktur binaan tanpa kebenaran di sini hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin.

Saiful Azri berkata, beberapa siri perbincangan sudah diaturkan oleh pihak Pentadbir Tanah Klang bersama pengusaha sejak tahun 2018 bagi memberi ruang kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tapak.

Penguatkuasa Pejabat Daerah dan Tanah Klang meroboh sebuah kilang papan yang dibina atas tapak tanah kerajaan tanpa kebenaran di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Penguatkuasa Pejabat Daerah dan Tanah Klang meroboh sebuah kilang papan yang dibina atas tapak tanah kerajaan tanpa kebenaran di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Katanya, kedudukan kilang berkenaan bercanggah dengan pelan Rancangan Tempatan (RT) MPK iaitu sebagai kawasan perumahan, maka tiada sebarang kebenaran pembinaan kilang boleh diberikan.

"Susulan itu, Pentadbir Tanah Klang mengeluarkan Notis Peringatan terakhir pada 3 Februari bertempoh 14 hari kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tanah kerajaan berkenaan.

"Bagaimanapun, sehingga kini pemilik struktur masih ingkar dan enggan mengosongkan tapak justeru ia membawa kepada pelaksanaan operasi pada hari ini. Pemilik juga berdepan tindakan kompaun oleh Pentadbir Tanah Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 4:20 PM