Tempat pemprosesan arak yang ditemui di kilang haram yang diserbu penguatkuasa JKDM di Sibu, Rabu lalu. FOTO/JKDM
Tempat pemprosesan arak yang ditemui di kilang haram yang diserbu penguatkuasa JKDM di Sibu, Rabu lalu. FOTO/JKDM
Erika George


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu merampas 964 liter arak putih tempatan atau dikenali sebagai `langkau’ dalam serbuan di sebuah kilang pemprosesan tidak berlesen di Jalan Hulu Durin di Sibu pada Rabu lalu.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, hasil maklumat serta risikan dijalankan, pasukan Unit Operasi Darat dan Unit Marin, Cawangan Penguatkuasaan serta Unit Industri JKDM Sibu menjalankan serbuan ke bahagian belakang sebuah rumah diyang dipercayai dijadikan kilang pemprosesan arak berkenaan.

“Pemeriksaan yang dijalankan di kilang terbabit menemui minuman keras yang disimpan dalam tong khas sebelum diedarkan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kilang berkenaan dibina di bahagian belakang kediaman dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, turut dirampas ialah peralatan bagi memproses arak berkenaan seperti tapai sebanyak 35,700 liter, dapur gas, tong besi, gula pasir, periuk, gula apong dan yis.

Menurut Sharifah, hasil siasatan yang dijalankan turut mendapati kilang arak berkenaan memproses arak putih tanpa lesen pengilangan mengikut Akta Eksais 1976.

“Serbuan yang dijalankan turut menahan seorang lelaki tempatan dalam lingkungan usia 30 tahun dipercayai penjaga kilang terbabit,” katanya.

Menurutnya, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke pejabat JKDM Sibu sebagai bahan bukti kes dan cukai arak berkenaan dianggarkan bernilai RM262,547.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 74 dan 75 Akta Eksais 1976 kerana mengilang serta memiliki peralatan penyulingan arak tanpa lesen atau kelulusan.

Sharifah Halimah turut meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah ataupun senjata api dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat kastam berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:55 PM