Zuhainy Zulkiffli


TINDAKAN pantas orang ramai berjaya menyelamatkan lebih 30 warga emas di rumah orang tua selepas berlaku kebakaran di bangunan berhampiran di Lebuh Carnavon, Georgetown malam tadi.

Orang ramai membantu mengangkat warga emas ke kawasan lapang berhampiran kerana khuatir kebakaran merebak ke rumah kebajikan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang ketika dihubungi berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan tiga bangunan kedai dua tingkat.

KEBAKARAN tiga buah bangunan kedai dua tingkat di Lebuh Carnavon. FOTO Ihsan bomba
KEBAKARAN tiga buah bangunan kedai dua tingkat di Lebuh Carnavon. FOTO Ihsan bomba

“Kedai di bahagian tengah terbakar sehingga 70 peratus manakala kiri dan kanan bangunan itu masing-masing terbakar sehingga 50 peratus pada bahagian atas.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan api berjaya dikawal daripada merebak pada 9.24 malam,” katanya.

ANTARA warga emas di rumah orang tua dipindahkan ditempat yang selamat. FOTO Ihsan bomba
ANTARA warga emas di rumah orang tua dipindahkan ditempat yang selamat. FOTO Ihsan bomba

Menurutnya, dimaklumkan bahawa terdapat bangunan yang dijadikan rumah orang tua dengan jarak enam meter dari bangunan yang terbakar.

“Kerja mengawal dan memadam membabitkan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, Jalan Perak dan Bagan Jermai selain Bomba Sukarela (BBM) berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 12:17 AM