Amir Mamat


Jasin: Enam rumah kedai yang berusia lebih 30 tahun di Pekan Umbai, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian jam 7.05 malam itu membabitkan kedai menjual perkakas pembinaan, barangan runcit serta kedai menjual motosikal.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba Dua Muhammad Izwan Arief Mat Noh berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.15 malam sebelum mengerahkan 33 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu itu menyebabkan api marak dengan cepat, bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

KEADAAN rumah kedai di Pekan Umbai yang terbakar. FOTO Amir Mamat
KEADAAN rumah kedai di Pekan Umbai yang terbakar. FOTO Amir Mamat

Izwan berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.16 malam.

"Sebanyak lima kedai terbakar dan musnah 100 peratus manakala sebuah lagi mengalami kemusnahan 80 peratus. Punca kejadian masih disiasat," katanya.

Rumah kedai berkenaan adalah antara bangunan lama yang berada di Pekan Umbai sehingga kawasan berkenaan dikenali sebagai Pekan 'Koboi'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, beberapa anggota polis dari Pondok Polis Umbai mengarahkan penghuni mengosongkan bangunan sebelum ketibaan anggota bomba.

Katanya, susulan kejadian itu pihaknya menutup sementara laluan di lokasi kejadian bagi memudahkan operasi pemadaman dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 12:34 AM