Zuhainy Zulkiffli


TINDAKAN pantas pihak bomba berjaya menyelamatkan tujuh penghuni di dua rumah setinggan yang terbakar di Lebuh Carnavon, dekat Georgetown, malam tadi.

Kejadian pada 10.43 malam itu menyebabkan rumah berkenaan terbakar 70 peratus.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohamad Rafizi Arafpin berkata, pihaknya tiba ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.

Katanya, ketika tiba di lokasi, kesemua mangsa masih berada di dalam rumah sebelum diselamatkan pasukan bomba.

“Dua mangsa berusia kira-kira 70-an diselamatkan di rumah pertama manakala lima lagi di rumah kedua.

“Kesemuanya tidak mengalami kecederaan dan sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menerima rawatan lanjut,” katanya kepada media.

Bomba turut menyelamatkan anjing peliharaan mangsa yang tersepit di bawah kepingan zink semasa api sedang marak.

Kerja pemadaman dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan BBP Paya Terubong serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera, PBS Jalan Perak, PBS Mount Erskine, PBS Bagan Lalang dan PBS Sri Tanjung.

Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.59 malam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata, rumah setinggan itu dihuni oleh 14 individu dan kesemuanya sudah menjalani saringan suhu badan selepas kejadian.

Katanya, pemeriksaan itu adalah mengikut prosedur operasi standard ( SOP) yang ditetapkan ketika ini bagi mencegah penularan Covid-19.

“Enam daripada mangsa sudah ditempatkan sementara di Kompleks Masyarakat Penyayang (Jalan Utama), manakala selebihnya sudah pulang ke rumah saudara mara dan kenalan masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

ANGGOTA bomba ketika melakukan kerja memadam api kebakaran membabitkan dua rumah setinggan di Lebuh Carnavon, dekat Georgetown, malam tadi. FOTO Zuhainy Zulkiffli
ANGGOTA bomba ketika melakukan kerja memadam api kebakaran membabitkan dua rumah setinggan di Lebuh Carnavon, dekat Georgetown, malam tadi. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 10:08 AM