SAIFUL Adli (tiga kanan) menyerahkan senarai nama calon kepada Zainol Fadzi. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SAIFUL Adli (tiga kanan) menyerahkan senarai nama calon kepada Zainol Fadzi. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari

PEMILIHAN barisan jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Perak bakal menyaksikan saingan hangat bagi kerusi Ketua Bahagian di Bagan Serai dan Lumut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan BERSATU Perak, Saiful Adli Mohd Arshad berkata, terdapat pertandingan lima penjuru di Bagan Serai dan empat penjuru di Lumut bagi merebut kerusi panas itu.

“Saingan di Bahagian Bagan Serai menjadi menjadi ‘panas’ kerana lima orang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian.

“Selain itu, saingan hangat lain ialah di Bahagian Lumut apabila berlaku pertandingan empat penjuru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman senarai nama calon bertanding seluruh Perak di Pejabat BERSATU negeri di Bandar Meru, Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Saiful Adli berkata, terdapat pertandingan di 19 bahagian, manakala lima bahagian lain tiada pertandingan.

Menurutnya, Ketua Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohamed Azni Mohamed Ali dan Ketua Bahagian Bukit Gantang, Datuk Khadri Khalid pula tidak mempertahankan jawatan masing-masing.

“Lima bahagian tiada pertandingan adalah di Tambun, Bagan Datuk, Batu Gajah, Ipoh Timur dan Padang Rengas.

“Sementara, di bahagian Tambun dan Bagan Datuk pula tiada pertandingan di peringkat bahagian, Srikandi dan ARMADA,” katanya.

Menurutnya, seramai 1,225 ahli BERSATU menawarkan diri dan layak bertanding untuk pemilihan kali ini bagi semua peringkat di bahagian, Srikandi dan ARMADA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 4:20 PM