MESYUARAT Bersatu Cawangan Pekan Masjid Tanah kecoh sehingga nyaris ditangguhkan. FOTO Hassan Omar
MESYUARAT Bersatu Cawangan Pekan Masjid Tanah kecoh sehingga nyaris ditangguhkan. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


PEMILIHAN kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini nyaris ditangguhkan selepas berlaku kekecohan di mesyuarat peringkat Cawangan Pekan Masjid Tanah.

Kekecohan bermula pada 12.15 tengah hari selepas beberapa ahli Srikandi mempersoalkan ahli didaftarkan setakat jam 11.30 pagi, iaitu waktu terakhir sebelum tempoh pendaftaran ditutup.

Bagaimanapun, Pengerusi Tetap Sementara mesyuarat Srikandi Cawangan Pekan Masjid Tanah gagal memberi penjelasan dan menyebabkan kekecohan bermula.

Mesyuarat 11 cawangan dalam bahagian berkenaan dijalankan dalam 11 khemah masing-masing dengan setiap khemah menempatkan ahli Srikandi, Armada dan cawangan yang dijadualkan bermesyuarat satu demi satu menjelang tengah hari sebelum pemilihan pemimpin di peringkat bahagian dimulakan di dalam dewan kompleks berkenaan pada 2 petang.

Kekecohan itu memaksa Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu negeri, Shamsir Harun campur tangan dengan mengisytiharkan mesyuarat Srikandi, Armada dan cawangan berkenaan terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang bakal ditentukan kemudian.

Bagaimanapun, beberapa ahli Armada tidak berpuas hati dengan tindakan Shamsir dan mendakwa mesyuarat Armada dan cawangan harus diteruskan kerana mereka tidak terbabit dalam kekecohan pengesahan kehadiran yang berlaku dalam Srikandi.

Shamsir tetap dengan keputusannya, menyebabkan sekumpulan ahli Armada menyerbu ke arahnya, tetapi Shamsir berjaya diiringi sekurang-kurangnya 10 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke dalam dewan itu.

Kekecohan berkenaan menyebabkan mesyuarat 10 lagi cawangan terhenti dan keadaan menjadi tidak menentu apabila Shamsir dikatakan mengadakan mesyuarat dengan JPP untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Ia menyebabkan timbul desas-desus kononnya pemilihan kepemimpinan Bersatu bahagian itu terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang bakal ditentukan kemudian.

Bagaimanapun, pada 12.50 tengah hari Shamsir muncul di atas pentas yang menempatkan kumpulan pancaragam sebelum membuat pengumuman mesyuarat Srikandi, Armada dan cawangan dibenarkan diteruskan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 5:33 PM