GM Klang. FOTO Google Maps
GM Klang. FOTO Google Maps
BERNAMA

PUSAT pemborong GM Klang menafikan berlakunya jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di gedung membeli-belah berkenaan seperti yang tular di media sosial.

Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang berkata, perkara itu dipercayai tercetus susulan pengumuman dibuat oleh bahagian khidmat pelanggannya sebelum ini yang berkongsikan tentang langkah-langkah pencegahan koronavirus seperti disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Niat baik itu disalahertikan oleh sesetengah pihak yang beranggapan pengumuman itu dibuat kerana terdapat kes koronavirus di GM Klang.

“Maklumat palsu yang dicipta dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini menimbulkan perasaan cemas dan bimbang dalam kalangan banyak pihak,” kata jabatan itu dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Jabatan itu menyatakan, GM Klang amat memandang serius berhubung penyebaran berita palsu seumpama itu kerana ia mencemar kredibiliti dan mengganggu aktiviti perniagaan di gedung beli-belah berkenaan.

Justeru kata jabatan tersebut, GM Klang membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu terbabit supaya siasatan dapat dijalankan serta tindakan susulan dikenakan terhadap penyebar maklumat palsu berkenaan.

“Kami menyarankan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan berita palsu ini dan merujuk kepada saluran yang dipercayai sebelum mengesahkan mana-mana berita yang diterima,” kata kenyataan itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 12:12 PM