Amir Mamat


JABATAN Kesihatan negeri menafikan terdapat sebuah kapal membawa anak kapal dari Wuhan berlabuh di Pelabuhan Kuala Linggi, Alor Gajah, seperti ditularkan menerusi video yang dimuat naik di Facebook (FB), hari ini

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ismail Ali berkata, dakwaan yang mengatakan kapal terbabit yang berlabuh pada 3 Februari lalu dari Wuhan, China adalah tidak tepat.

“Kami ingin menjelaskan bahawa dakwaan itu salah. Kapal itu bukan dari Wuhan.

“Bagaimanapun, saringan kesihatan dari negara berisiko seperti China tetap dilaksanakan sebagai pencegahan dan kawalan kemasukan koronavirus baharu (2019-nCov) di semua pintu masuk antarabangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman video dimuat naik pengguna FB mendakwa kapal dagang dari Wuhan yang membawa beberapa anak kapal berlabuh di Pelabuhan Kuala Linggi.

Dalam status FB berkenaan, pengguna memaklumkan semua anak kapal disaring sejurus tiba sebelum memadam status berkenaan kira-kira 15 minit kemudian.

Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata, penggunaan alat perlindungan diri oleh anggota kesihatan adalah bertujuan melindungi mereka di pintu masuk antarabangsa.

“Pihak kami meminta masyarakat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sesuka hati yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan penjagaan kebersihan diri yang baik, menjaga etika batuk dan mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 11:46 PM