GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amir Abd Hamid


LAGI tular palsu mengenai penularan koronavirus baharu (2019-nCoV) tersebar di media sosial, kononnya berlaku di sebuah hospital dan pusat membeli-belah terkemuka di ibu negara.

Penularan berita palsu itu pantas dinafikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kedua-dua berita disebarkan ini adalah berita palsu.

“Tiada kes Novel Coronavirus (2019-nCoV) dikesan di Mid Valley dan Hospital Sunway Cheras.

“Jangan berkongsi atau menyebarkan berita palsu ini!,” tegas KKM dalam penafiannya di Facebook (FB) rasminya.

Antara tular palsu itu membabitkan satu klip video selama 13 saat.

Klip video memaparkan beberapa individu lengkap sut perlindungan menolak seorang wanita berkerusi roda.

Selain itu, terkandung dalam klip itu petugas pembersihan memakai sut plastik biru serta topeng muka sedang mengelap lantai.

Tersebar berita palsu itu di aplikasi WhatsApp iaitu ‘Mid valley third floor is closed to public, discover 3 person with coronavirus. Don’t go to public places for safety. (Tingkat tiga Mid Valley ditutup kepada orang ramai, tiga orang dikesan koronavirus. Jangan pergi tempat awam untuk keselamatan).

Ciapan di Twitter rasmi KKMPutrajaya tegas menasihatkan supaya masyarakat di negara ini menghentikan berita palsu sebegini yang menyebabkan orang ramai keliru dan sukar bezakan antara fakta atau rekaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 2:07 PM