Asrol Awang

MINAT mendalam terhadap watak adiwira mendorong seorang tukang cat kenderaan sanggup berhabis wang untuk menghasilkan sendiri sut pakaian hero kegemarannya.

Setakat ini, dua sut pakaian adiwira iaitu Ironman dan Batman berjaya dihasilkan Sabree Hussin, 42, sekali gus memberi kepuasan kepadanya sebagai peminat setia hero terbabit.

Dua lagi sut adiwira iaitu Captain America dan Deadpool juga akan dihasilkan untuk memenuhi kepuasan.

Menurut Sabree atau Ayiee, pada awalnya dia lebih kepada mereka kepala adiwira Ironman sebelum tercetus idea menghasilkan sut lengkap watak hero berkenaan.

“Sebagai permulaan, saya mula mereka dan menghasilkan sut pakaian Ironman hasil daripada pemerhatian dan belajar menerusi Youtube dan kreativiti sendiri.

“Bagi sut Ironman, saya mengambil masa selama 40 hari untuk menyiapkannya kerana kali pertama cuba menghasilkannya dengan kos keseluruhan mencecah RM1,500.

“Tapi, berbanding sut Batman, hanya tempoh 10 hari diperlukan untuk menyiapkannya dengan anggaran kos RM700,” kata bapa kepada tiga anak itu ketika ditemui di Kampung Peramu di Kuantan.

Sabree menggayakan sut Batman di Kampung Peramu, Kuantan. Foto Asrol Awang
Sabree menggayakan sut Batman di Kampung Peramu, Kuantan. Foto Asrol Awang

Sabree berkata, bahan yang digunakan juga berkualiti bagi memastikan sut pakaian yang dihasilkan tahan lasak dan mudah dipakai.

Katanya, antara bahan utama yang digunakan untuk pembuatan ialah ‘eva foam’.

“Setakat ini, saya belum lagi bersedia untuk menerima tempahan kerana mahu mencapai impian untuk menghasilkan dua lagi sut adiwira iaitu Captain America dan Deadpool.

“Saya berterima kasih kepada isteri (Sakinah Talib, 36) dan tiga anak yang memberi sokongan dan semangat atas minat ini sejak berusia 16 tahun lagi,” katanya.

Sabree yang meminati filem adiwira dan kartun sekitar 1980-an hingga sekarang turut memiliki lebih 600 koleksi patung dan kenderaan yang diletakkan di bilik khas di rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 7:00 PM
Sabree menunjukkan sut Ironman dan Batman yang dihasilkannya sendiri di Kampung Peramu, Kuantan. Foto Asrol Awang
Sabree menunjukkan sut Ironman dan Batman yang dihasilkannya sendiri di Kampung Peramu, Kuantan. Foto Asrol Awang