Georgie (baju putih) menunjukkan topeng muka dan hidung yang disita kerana dijual dengan harga lebih dua kali ganda.
Georgie (baju putih) menunjukkan topeng muka dan hidung yang disita kerana dijual dengan harga lebih dua kali ganda.
Juwan Riduan


PENULARAN wabak koronavirus baharu menyebabkan segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menjual barangan itu dua kali ganda berbanding harga asal.

Perbuatan mereka mengundang padah apabila tiga premis di sekitar daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, kelmarin.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, pemeriksaan bermula pada 26 Januari lalu membabitkan 130 premis di seluruh Sabah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiga kes dikesan peniaga menjual topeng muka itu dua kali ganda berbanding harga asal.

"Ketiga-tiga kes ini dikesan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan kerana menjual melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga.

"Ini membabitkan rampasan sebanyak 3,250 unit topeng muka dan hidung jenis N95 dan topeng muka gelung telinga dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,935," katanya dalam sidang media di pejabat KPDNHEP Sabah, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) 2009.

"Semua penjual topeng muka sama ada di peringkat runcit mahupun pemborong diingatkan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga atau menyorok bekalan dengan niat mengaut keuntungan.

"Kementerian tidak akan bertolak ansur mengenai perkara ini dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

Sementara itu, mengenai situasi bekalan topeng muka di Kota Kinabalu, Georgie berkata, hasil pemeriksaan di peringkat peruncit dan pemborong, pihaknya merumuskan ketiadaan stok hanya membabitkan farmasi di kawasan tumpuan pelancong.

"Pemborong sudah mengedarkan stok yang ada kepada peruncit sekitar Kota Kinabalu sejak kelmarin dan semalam.

"Pegawai penguatkuasa akan membuat pemantauan susulan. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 5:37 PM