Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak akan mengurangkan permintaan dan kebergantungan terhadap industri sarung tangan getah perubatan yang menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama dunia produk berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia susulan jangkaan serantau terhadap pelaksanaan imunisasi yang menjangkau sehingga lima tahun seterusnya menjadikan sarung tangan sebagai barangan keperluan sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi bantuan sewajarnya kepada syarikat korporat yang menceburi sektor industri berkenaan bagi mengekalkan kedudukan itu.

"Kita sudah tunjukkan kepada dunia kebolehan kita menghasilkan bukan hanya sarung tangan perubatan malah sarung tangan untuk kegunaan pembedahan yang saya lihat piawaiannya lebih tinggi.

"Kalau hari ini eksport sarung tangan getah yang dicatatkan adalah RM91 bilion, saya jangkakan dalam masa terdekat, kita oleh meningkatkan lagi jumlah itu pada kadar 30 peratus sekiranya lebih banyak syarikat pembuatannya dibantu untuk mengembangkan fasiliti mereka.

"Harapan kita agar industri ini terus memacu ekonomi negara seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing," katanya.

DATUK Seri Mohd Redzuan Md Yusof ketika meninjau bahagian dalam kilang pembuatan sarung tangan getah, AT Glove Engineering Sdn Bhd. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
DATUK Seri Mohd Redzuan Md Yusof ketika meninjau bahagian dalam kilang pembuatan sarung tangan getah, AT Glove Engineering Sdn Bhd. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pembukaan Kilang AT Glove Engineering Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Seramik Chepor, Chemor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan AT Systematization Choong Lee Aun.

Menurut Mohd Redzuan, kerajaan akan terus menggalakkan serta bertindak sebagai pemudah cara bagi sektor korporat yang terbabit dalam industri strategik seperti pembuatan sarung tangan getah bagi melestarikan kedudukan negara sebagai pemain utama industri berkenaan.

"Jika perlu, kita galakkan mereka untuk eksport dengan lebih banyak, jika boleh sehingga ia dapat memenuhi keperluan dunia," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Redzuan berkata, biarpun program vaksinasi dijalankan secara global, permintaan terhadap sarung tangan getah tetap melonjak.

"Ia turut disumbang oleh pertambahan ujian makmal terhadap pembangunan serta keberkesanan vaksin di seluruh dunia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 4:36 PM