Kalidevi Mogan Kumarappa


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Timbalan Pengurus Besar dan Pengarah Projek Selatan 1 UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor untuk melayakkan mereka menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan bagi kerja penyelenggaraan landskap syarikat berkenaan.

Sumber berkata, timbalan pengurus besar, 44 tahun dan pengarah berusia 55 tahun itu ditahan antara 3 dan 4 petang di SPRM Johor, hari ini.

Menurutnya bagi membantu siasatan, pembantu peribadi kepada timbalan pengurus besar berkenaan berusia 34 tahun ditahan di lokasi yang sama.

"Siasatan SPRM mendapati, dua lelaki itu akan memastikan kontrak landskap bawah seliaan mereka diberikan kepada lapan syarikat melalui tiga peringkat iaitu 'e-Bidding', 'One Off Contract' dan penyelenggaraan yang berjumlah kira-kira RM44 juta.

"Timbalan pengurus besar itu akan mengarahkan eksekutif syarikat berkenaan untuk memberi markah sebanyak 80 peratus kepada syarikat kontraktor yang bertanggungjawab atas kerja penyelenggaraan landskap supaya mereka menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan yang dikemukakan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pengarah projek itu pula berkuasa untuk melantik kontraktor, pembekal dan jururunding selain meluluskan pembayaran tuntutan yang dikemukakan oleh kontraktor bagi memastikan menerima bayaran penuh seperti yang dinyatakan dalam kontrak.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh oleh pasukan penyiasat, terdapat bayaran mencurigakan melebihi RM2.4 juta dimasukkan ke akaun bank suspek pertama dan isterinya oleh lapan buah syarikat kontraktor melalui empat orang proksi.

Selain itu, katanya, pasukan penyiasat juga menahan empat orang proksi terbabit bagi membantu siasatan kes berkenaan yang berlaku antara tahun 2013 dan 2017.

"Empat mereka ditahan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini di Ibu Pejabat SPRM, Shah Alam, Klang dan Melaka.

"15 akaun bank milik suspek pertama dan syarikat kontraktor turut disita bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tujuh individu itu dan berkata pasukan penyiasat sudah pergi ke beberapa lokasi termasuk syarikat kontraktor untuk mengambil dokumen berkaitan siasatan.

“€œKami akan meneliti semua dokumen yang dirampas untuk mengenal pasti sama ada wujudnya elemen rasuah dan salah guna kuasa,”€ kata beliau ketika dihubungi, hari ini.

Semua suspek dijangka akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 9:00 PM