FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


TUTOR sambilan antara empat individu ditahan di sekitar Melaka, Kedah dan Pahang hari ini kerana disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Penahanan itu hasil operasi dijalankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula jam 11 pagi hingga 5 petang hari ini.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, tutor sambilan berusia 49 tahun ditahan di Alor Setar, Kedah kerana memuat naik kandungan palsu koronavirus baharu di Facebook (FB) miliknya, Sabtu lalu.

Menurutnya, dua lagi yang ditahan adalah pembantu farmasi berusia 25 tahun dan 30 tahun di Peringgit dan Merlimau, Melaka pada 4 petang kerana disyaki memuat naik berita palsu dalam FB mereka Ahad lalu.

“Seorang lagi adalah penuntut universiti awam (UA) berusia 24 tahun yang ditahan pada 4.15 petang di Kuantan, Pahang, selepas didapati berkongsi kandungan palsu wabak itu di laman Twitter, kelmarin.

“SKMM merampas empat telefon bimbit, lima kad sim, dua kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu berkaitan koronavirus baharu di media sosial,” katanya.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Secara keseluruhan lima individu sudah ditahan kesalahan penyebaran berita palsu ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan individu berusia 34 tahun ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor bagi membantu siasatan terhadap satu muat naik di laman Facebook pada 26 Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 9:06 PM