SALURAN telegram SKMM, Sebenarnya.my untuk menangani berita palsu berkaitan krisis Covid-19. FOTO NSTP
SALURAN telegram SKMM, Sebenarnya.my untuk menangani berita palsu berkaitan krisis Covid-19. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mewujudkan saluran Telegram rasmi bagi portal Sebenarnya.my yang akan memberi fokus kepada usaha untuk menangani penyebaran berita palsu di media sosial, terutama berkaitan krisis koronavirus baharu (Covid-19).

SKMM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan orang awam yang mempunyai kemusykilan mengenai sesuatu berita, termasuk berkaitan Covid-19 sama ada ia sahih atau palsu boleh mendapatkan pengesahan maklumat mutakhir dengan pantas dan tepat melalui pautan https://t.me/sebenarnyamy.

“Berita yang dimuat naik dalam saluran rasmi Telegram itu akan ditentusahkan oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu Covid-19.

“Dalam isu Covid-19 khususnya, SKMM akan berkongsi semua kandungan sama ada dalam bentuk berita, pengumuman, kesedaran, peringatan, mahupun soalan lazim yang sudah ditentusahkan oleh KKM sama ada melalui akaun media sosial rasmi mereka mahupun melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM yang dipetik daripada pautan berkenaan.

“Usaha menangani berita palsu adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita belum dipastikan kesahihannya bagi mengelak kekeliruan tidak diingini.

“SKMM akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dalam mengawal berita palsu demi kemakmuran bersama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 9:38 PM