Raja Noraina Raja Rahim


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengenal pasti empat individu bagi membantu siasatan penyebaran berita palsu berhubung koronavirus baharu.

Menurut kenyataan bersama PDRM dan SKMM, media sosial dan pesanan dalam talian dijadikan platform utama bagi penularan berita palsu berkenaan.

“Kami memandang serius akan perbuatan ini dan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran kepada orang awam seterusnya menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara,” katanya.

Dalam kenyataan itu, polis dan SKMM memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih mengenai penularan koronavirus baharu.

“Penyebar berita palsu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Pendakwaan turut boleh dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Orang awam digesa supaya menyemak terlebih dahulu maklumat mengenai koronavirus baharu sebelum mempercayai atau menyebarkannya terutama maklumat yang dikeluarkan pihak lain kecuali Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 3:11 PM