ORANG ramai memakai penutup muka sebagai langkah keselamatan selepas  pengumuman Kementerian Kesihatan Singapura mengenai pengesahan kes wabak Koronavirus membabitkan seorang warga emas dari Wuhan, China di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Mohd Azren Jamaludin

ORANG ramai memakai penutup muka sebagai langkah keselamatan selepas pengumuman Kementerian Kesihatan Singapura mengenai pengesahan kes wabak Koronavirus membabitkan seorang warga emas dari Wuhan, China di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Mohd Azren Jamaludin

Mohamed Farid Noh


JUALAN dan permintaan penutup hidung dan mulut di Johor meningkat mendadak susulan wabak koronavirus.

Tinjauan di beberapa farmasi sekitar kawasan Larkin, Tampoi dan Perling mendapati penutup hidung dan mulut termasuk jenis N95 kehabisan stok sejak Ahad lalu.

Keadaan itu menyebabkan pengguna mendakwa mereka sukar mendapatkan peralatan itu di farmasi kerana kehabisan stok.

Seorang pengguna, Hanida Mohd Noor, 21, berkata, dia mencari di beberapa farmasi bagi membeli penutup hidung dan mulut selepas dinasihatkan keluarga untuk memakainya ketika menaiki bas pulang ke kampus di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

"Bagaimanapun semua farmasi dikunjungi termasuk di Terminal Bas Larkin Sentral kehabisan stok.

"Saya risau kerana berada di kawasan yang ramai orang apatah lagi ramai pelancong dan pekerja asing menaiki bas, " katanya ketika ditemui.

Sementara itu, pembantu jualan sebuah farmasi di Larkin yang hanya mahu dikenali sebagai Julia berkata, semua jenis penutup hidung dan mulut kehabisan stok sejak kelmarin melainkan untuk kanak-kanak.

"Kami sudah memesan stok baru yang hanya akan sampai petang ini atau esok berikutan cuti Tahun Baru Cina.

"Ramai pengunjung seolah-olah panik apabila membeli sehingga dua hingga kotak penutup hidung dan mulut sehingga kami terpaksa mengehadkan pembelian bagi setiap orang bagi memberi peluang kepada pembeli lain membelinya juga, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 1:39 PM