Shinji (kanan) menerima bantuan penginapan daripada pengusaha pelancongan Kondis Point di Kampung Gamut Poturidong, Kiulu. FOTO ihsan pembaca
Shinji (kanan) menerima bantuan penginapan daripada pengusaha pelancongan Kondis Point di Kampung Gamut Poturidong, Kiulu. FOTO ihsan pembaca
Recqueal Raimi


LELAKI terkandas lima jam selepas cedera disengat lebah ketika mendaki bukit di hutan berhampiran Kampung Mongkonihab, Kiulu di Tuaran, semalam.

Mangsa yang mahu dikenali Shinji, 29, berasal Sandakan itu berkata, dia memulakan perjalanan jam 11 pagi dari Pekan Kiulu mengikuti laluan Borneo Ultra Trail Maraton (BUTM).

"Dalam perjalanan, saya merentasi hutan sejauh tujuh kilometer sebelum mengikuti laluan pintas sebelum diserang dan disengat lebah kira-kira jam 4.30 petang.

"Oleh kerana saya mengalami pening kepala selepas disengat, saya terpaksa menghubungi rakan daripada Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) untuk mendapatkan bantuan," katanya dihubungi.

Menurutnya, ahli KTA serta penduduk kampung memulakan pencarian itu terpaksa meminta bantuan pihak bomba berikutan hari gelap.

"Sebaik menerima rawatan, saya dibantu pengusaha sebuah pusat pelancongan di Kampung Gamut Poturidong menginap satu malam," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.14 malam.

Katanya, seramai 11 anggota bergegas ke lokasi bersama satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Pasukan bomba dengan bantuan ahli KTA berjaya mengesan mangsa jam 9.33 malam kira-kira dua kilometer dari laluan kenderaan".

"Mangsa ditemui dalam keadaan sedar namun keletihan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Kiulu untuk rawatan lanjut," katanya operasi ditamatkan jam 10.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 3:13 PM