KAMERA pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di KLIA. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
KAMERA pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di KLIA. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Yusmizal Dolah Aling


MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan saringan penumpang antarabangsa di pintu masuk lapangan terbang di seluruh negara susulan wabak koronavirus.

Dalam satu kenyataan, pihaknya berkata, langkah tambahan diambil oleh pengendali lapangan terbang, agensi berkaitan dan syarikat penerbangan untuk memastikan keselamatan semua khususnya penumpang dan petugas di terminal.

Katanya, pihaknya mengambil perhatian serius mengenai perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan kesejahteraan semua pihak ekoran penularan wabak yang mencetuskan kebimbangan semua pihak ketika ini.

“Salah satu langkah yang diambil oleh KKM dan disokong oleh Malaysia Airports adalah pelaksanaan pemeriksaan haba untuk penumpang dan kru penerbangan dari China.

“Kami sudah memperuntukkan ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin di pintu masuk ketibaan untuk mana-mana penumpang yang menunjukkan tanda-tanda virus.

“Selain itu, kami juga menetapkan semula pintu masuk ketibaan untuk penerbangan masuk dari China supaya lebih dekat dengan ruang perubatan untuk mempercepatkan prosedur kuarantin meminimumkan risiko pendedahan kepada khalayak,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, individu yang mengalami demam, batuk atau menghadapi kesukaran bernafas akan segera dibawa ke hospital terdekat semasa ketibaan.

Katanya, kesemua syarikat penerbangan akan membuat beberapa pengumuman yang diperlukan kepada penumpang dan mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (HAC) yang dikeluarkan oleh KKM kepada penumpang untuk mengisytiharkan keadaan kesihatan semasa mereka.

“Kad itu juga akan diedarkan di kaunter Imigresen, malah lapangan terbang menyediakan penutup hidung dan mulut serta pembersih tangan untuk kakitangan dan diletakkan di tempat strategik seluruh terminal,” kata kenyataan itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 2:17 PM