MOHD Hafiz (kanan) memerhatikan petugas SAMB menyalurkan air dari lori tangki ke tong air pada majlis perkahwinan adiknya di Bukit Baru, Melaka. FOTO Hassan Omar
MOHD Hafiz (kanan) memerhatikan petugas SAMB menyalurkan air dari lori tangki ke tong air pada majlis perkahwinan adiknya di Bukit Baru, Melaka. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


KEBIMBANGAN suami isteri yang menjadi tuan rumah majlis perkahwinan anak perempuan mereka hari ini berikutan catuan bekalan air, berakhir selepas majlis itu ‘diselamatkan’ Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB).

Tindakan segera syarikat berkenaan menghantar bekalan air memastikan 3,000 tetamu mampu menggunakan pinggan dan cawan selepas catuan air bermula pada 12 tengah hari.

Husin Hashim, 59, dan Haslina Ahmad, 51, pada mulanya bimbang selepas bekalan air terputus di Dewan Raja Haji Fisabilillah di Bukit Baru, Melaka, yang menjadi lokasi majlis perkahwinan anak mereka Zakiah, 26, dengan pengantin lelaki, Mohd Shahril Ramadhan Shaufi, 27.

Anak sulung mereka, Mohd Hafiz, 29, berkata jamuan makan bermula pada 11.30 pagi berjalan lancar dan hadirin semakin ramai menjelang 12 tengah hari.

“Bagaimanapun, air mula dicatu pada 12 tengah hari dan remaja yang bertugas dengan syarikat katering mengadu kepada kami mereka tidak boleh membasuh pinggan, mangkuk dan cawan kerana bekalan air sudah dicatu.

“Ibu bapa saya sangat bimbang dengan keadaan itu kerana kemungkinan hadirin tidak akan dapat menggunakan pinggan dan cawan akibat ketiadaan air untuk mencuci pinggan mangkuk,” katanya ketika ditemui di dewan berkenaan.

Berikutan itu, Mohd Hafiz segera menghubungi SAMB bagi meminta bantuan mendapatkan bekalan air untuk memastikan pinggan dan cawan dapat dicuci, sekali gus memastikan hadirin mampu menjamu selera tanpa halangan.

“Alhamdulillah, kami terhutang budi kepada SAMB kerana bertindak segera menghantar satu lori tangki air pada 1.30 tengah hari untuk membantu majlis berjalan lancar dan kami lega apabila hadirin bukan setakat dapat menggunakan pinggan dan gelas, malah mencuci tangan dengan air dibekalkan itu,” katanya.

Catuan air di seluruh Melaka dalam fasa ketiga bermula sejak 23 Februari hingga esok, tetapi dilanjutkan untuk fasa keempat dari Isnin ini hingga 22 Mac depan.

Sebelum ini, catuan fasa pertama bermula 29 Januari hingga 9 Februari dan fasa kedua bermula 10 Februari hingga 22 Februari lalu.

Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Halim Bachik dilaporkan berkata, lanjutan itu terpaksa dilakukan berikutan paras air di tiga empangan utama iaitu Empangan Durian Tunggal di sini dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin yang masih belum mencatatkan peningkatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 5:51 PM