.Antara kotak mengandungi sosej babi dirampas dalam pemeriksaan di ICQS Durian Burung, Padang Terap. FOTO IHSAN MAQIS
.Antara kotak mengandungi sosej babi dirampas dalam pemeriksaan di ICQS Durian Burung, Padang Terap. FOTO IHSAN MAQIS
Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN menyeludup masuk 100 kilogram sosej babi ke negara ini melalui pintu sempadan berjaya dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) selepas menahan sebuah lori, Ahad lalu.

Kenderaan jenis Isuzu itu ditahan ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung, Padang Terap sekitar jam 2 petang.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan gagal menunjukkan sebarang dokumen sah dikeluarkan MAQIS dan sijil kesihatan veterinar dari negara asal.

“Sebarang pengimportan daging babi dari China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium dilarang masuk ke negara ini bagi mengelakkan kemasukan produk dari negara berpenyakit.

“Antara produk berisiko dalam penularan virus Africa Swine Fever (ASF) adalah seperti babi hidup, daging babi segar, sejuk beku serta produk babi proses,” katanya dalam satu kenyataan di Padang Terap, hari ini.

Lily berkata, keseluruhan sosej babi ini sudah dimusnahkan mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan risiko penyakit ASF dapat dicegah.

Katanya, perbuatan mengimport produk babi tanpa permit sah daripada MAQIS adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3) akta sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Akta ini diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara,” katanya.

Lily berkata, ia boleh menyebabkan pihak kerajaan menanggung kerugian tinggi jika penyakit ini tidak dikawal selain boleh menjejaskan industri ternakan babi tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 2:24 PM