Siti Sofia Md Nasir

MALAYSIA berjaya menghantar pulang 150 kontena sisa pepejal plastik dengan anggaran 3,373 metrik tan ke negara asal pengeksport sejak suku ketiga tahun lalu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata, tindakan penghantaran balik kontena terbabit ke negara yang kebanyakannya terdiri daripada negara maju itu tidak membabitkan sebarang implikasi kos kewangan kepada kerajaan.

Menurutnya, semua kontena itu dihantar melalui tiga pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Barat dan Utara Klang, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Kos penghantaran balik kontena sisa pepejal plastik ini ditanggung oleh pihak pengimport atau syarikat perkapalan, dan ini adalah yang pertama kali dalam sejarah negara ia dihantar balik secara skala besar.

“Kerajaan memandang serius terhadap isu kemasukan sisa plastik haram ke negara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah dunia,” katanya ketika sidang media di Butterworth hari ini.

Terdahulu, Bee Yin melihat cara pengendalian dan proses penghantaran semula kontena sisa pepejal plastik ke negara asal di Pelabuhan Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT).

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh.

Sebanyak 150 kontena sisa pepejal itu adalah membabitkan 40 kontena pengeksport dari Perancis (40), United Kingdom (UK) (42), Amerika Syarikat (US) (17), Kanada (11), Sepanyol (10) dan Hong Kong dengan sembilan kontena.

Ia diikuti dengan lima kontena dari Jepun, Singapura (4), Portugal (3), China (3) dan masing-masing satu kontena dari Bangladesh, Sri Lanka serta Lithuania.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, dianggarkan sebanyak 110 kontena sisa pepejal plastik lagi akan dihantar pulang ke negara pengeksport sekurang-kurangnya sebelum pertengahan tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 60 kontena adalah dari US, Kanada (15), Jepun, (14), UK (9), Belgium (8), dan lain-lain negara.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang penolakan daripada negara terbabit, semuanya memberi respon dan kerjasama dengan baik, namun ada yang memberi maklum balas cepat dan lambat,” katanya.

Bee Yin berkata, kerajaan akan melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Penguatkuasaan Sisa Plastik (HS 3915) pada bulan hadapan bagi menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di lapangan oleh agensi berkaitan.

Katanya, prosedur itu dijangka akan membabitkan JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) dan pihak berkuasa pelabuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 1:13 PM
Yeoh (tiga dari kanan) melihat tiga kontena sisa pepejal plastik yang akan dihantar kembali ke negara pengeksport di Pelabuhan Utara Terminal Kontainer Butterworth (NBCT) hari ini. Foto Mikail Ong
Yeoh (tiga dari kanan) melihat tiga kontena sisa pepejal plastik yang akan dihantar kembali ke negara pengeksport di Pelabuhan Utara Terminal Kontainer Butterworth (NBCT) hari ini. Foto Mikail Ong