HENG menunjukkan sisa plastik yang sudah diproses ketika tinjauan di Hulu Langat.
HENG menunjukkan sisa plastik yang sudah diproses ketika tinjauan di Hulu Langat.
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Aktivis kumpulan alam sekitar Greenpeace meminta negara maju memproses sendiri sampah mereka, mengurangkan penggunaan plastik pakai buang (single-use plastic) dan tidak menjadikan negara lain seperti Malaysia tempat pembuangan sampah mereka.

Jurucakap Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata, bagi pihaknya penghantaran semula sisa plastik oleh negara penerima sampah seperti Malaysia dan Indonesia ke negara asal adalah usaha yang baik tetapi masalah ini sepatutnya dapat dielakkan jika bahan itu dilarang import.

Beliau berkata, penyelidikan Greenpece mendapati di seluruh dunia hanya sembilan peratus sampah plastik dikitar semula, 12 peratus dibakar dan 79 peratus dibuang di tempat pelupusan sampah digazetkan atau tapak haram.

“Sisa plastik adalah masalah global dan jelas menunjukkan bahawa sistem kitar semula sekarang tidak mampu dengan segera mengatasi masalah pencemaran sampah plastik yang terlampau banyak ini.

“Penghantaran semula sampah plastik import ke negara asal bukanlah kaedah terbaik mengatasi masalah ini sebaliknya melarang pengimportannya serta penguatkuasaan ketat untuk elakkan ia dari diseludup masuk ke negara ini adalah lebih mendesak,” katanya.

Beliau mengulas berita AFP melaporkan tindakan Indonesia akan menghantar lebih 210 tan sampah ke Australia ketika negara di Asia Tenggara menegaskan pendirian tidak mahu dijadikan lokasi sisa buangan oleh negara asing.

Mengulas perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar berkata, sehingga kini, sebanyak tujuh kontena sisa plastik import sudah dihantar ke negara asal manakala 18 lagi dalam proses pemantauan penghantaran semula ke negara asal.

“Terdapat 13 kontena sisa plastik yang masih dalam penyiasatan di Pelabuhan Klang dan 11 kontena sisa plastik disiasat di Pelabuhan Pulau Pinang.

“Tiada tindakan mahkamah diambil setakat ini. Bagaimanapun, notis arahan bagi pemulangan semula kontena sisa plastik sudah dikeluarkan oleh pihak JAS,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Berkenaan langkah diambil untuk membendung kegiatan penyeludupan sisa plastik tercemar ke negara ini, katanya JAS meneruskan operasi penguatkuasaan di pelabuhan secara bersepadu dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (SWCorp) dan Lembaga Pelabuhan.

Selain itu, beliau berkata operasi penguatkuasaan di kilang kitar semula plastik termasuk kilang haram turut dipergiatkan secara bersepadu dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JPSPN, SWCorp, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Program peningkatan kapasiti dalam kalangan pegawai teknikal dan penguat kuasa berkaitan sisa plastik import turut dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan operasi,” katanya.

Isu sisa plastik negara asing mencetuskan polemik antarabangsa apabila China yang sebelum ini pengimport terbesar sampah plastik dari seluruh dunia bertindak mengharamkan kegiatan itu bermula tahun lalu sebagai sebahagian usaha membersihkan alam sekitar mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 6:00 AM