KONTENA di NBCT di Butterworth. FOTO arkib NSTP
KONTENA di NBCT di Butterworth. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


UNITED Kingdom (UK) bersetuju mengambil semula 42 kontena berisi sisa plastik yang terdampar di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang sejak Januari lalu.

Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) dan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur dalam kenyataan bersama hari ini berkata, pihak berkuasa dan ejen perkapalan ketika ini sedang bekerjasama menyelesaikan proses penghantaran semula bahan sisa berkenaan.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dicapai selepas Agensi Alam Sekitar UK (EA) meninjau lokasi kontena itu ditinggalkan berikutan laporan media berkaitan penghantaran haram sisa plastik dari negara berkenaan.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata, kerjasama rapat Suruhanjaya Tinggi British dengan MESTECC untuk membawa pulang 42 kontena sampah plastik terbabit amat dipuji.

“Kerjasama ini menunjukkan kesepakatan bahawa pencemaran bahan plastik adalah isu global yang memerlukan komitmen daripada pelbagai negara.

“Kami harap kesepakatan antara Malaysia dan UK akan menjadi contoh kepada negara lain yang syarikat mereka mengeksport secara haram sisa plastik ke negara membangun,” tegasnya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay berkata, kerajaan UK berkongsi kebimbangan yang sama dalam isu berkenaan.

“Membawa balik 42 kontena sisa plastik itu adalah bukti komitmen kami memerangi perdagangan sisa plastik secara haram.

“Kami juga berharap dapat menjalinkan kerjasama lebih luas dengan Kuala Lumpur dalam agenda memelihara alam sekitar dan perubahan iklim, lebih-lebih lagi UK akan mempengerusikan Persidangan Pelbagai Pihak ke Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP26) tahun depan,” katanya.

Kerajaan Malaysia sebelum ini menegaskan tidak akan membayar walau satu sen pun kos menghantar kontena berisi sisa plastik kembali ke negara asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 6:21 PM