KASA mengesahkan dua kontena yang disyaki mengandungi sisa plastik dari Amerika Syarikat
KASA mengesahkan dua kontena yang disyaki mengandungi sisa plastik dari Amerika Syarikat
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan dua kontena yang disyaki mengandungi sisa plastik dari Amerika Syarikat (AS) yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 27 Mac lalu adalah bersih, bersifat homogenous serta mematuhi kriteria lesen import sisa plastik (AP) kepada pengimport.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pemeriksaan terhadap dua kontena itu dijalankan JAS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), polis, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Westport Malaysia Sdn. Bhd.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sisa plastik yang diimport itu adalah barang dagangan HS3915 iaitu sisa plastik jenis Polyethylene.

"Selaku pihak berkuasa kompeten kepada Konvensyen Basel JAS mengesahkan sisa plastik berkenaan adalah mematuhi kriteria B3011 Konvensyen Basel," katanya tadi,

Pada 20 Mac lalu, media melaporkan KASA mengesan sebuah kapal kontena dari AS disyaki cuba membawa masuk sisa plastik secara haram ke negara ini.

Kapal terbabit belayar dari Los Angeles, AS pada 14 Februari lalu melalui maklumat Sahabat Alam Malaysia menggunakan ejen perkapalan CMA CGM dan pengeksport Sigma Recylcling Inc yang disyaki mengandungi sisa plastik.

Tuan Ibrahim berkata, pengimportan sisa plastik B3011 ini tidak memerlukan prosedur Prior Inform Consent (PIC) dan notifikasi daripada negara pengeksport.

Katanya, semakan JAS terhadap premis pengimport juga mendapati premis berkenaan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) serta menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik secara Environmental Sound Manner (ESM).

"Kerajaan amat menghargai sebarang maklumat yang disalurkan oleh mana-mana pihak dalam mendepani cabaran siasatan dan penguatkuasaan pergerakan sisa plastik merentas sempadan ke negara ini.

"Sebarang cubaan untuk mengimport sisa plastik ke negara ini adalah tertakluk kepada Undang-undang mengikut Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 akan berdepan dengan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi perundangan dan prosedur pengimportan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 8:42 PM