Siti Rohana Idris


SUATU ketika dulu, terdapat puluhan rumah rakit di sepanjang Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai, namun kini hanya tiga saja yang masih wujud dan didiami.

Satu daripada tiga rumah rakit itu didiami Zalina Abdul Aziz, 41, bersama suaminya, Rosdi Che Mat, 43, dan dua anak mereka yang berusia 21 dan enam tahun yang semakin uzur keadaannya.

Dengan ruang yang sangat sempit dan tiada bilik, rumah rakit biasanya dihuni mereka yang sumber pendapatan ada kaitan dengan sungai.

Zalina berkata, dia mula mendiami rumah rakit itu sejak 23 tahun lalu disebabkan suami bekerja sebagai pengangkut getah sekerap serta barangan penduduk kampung di jeti Tangga Krai itu.

"Pada mulanya kami hanya menyewa saja rumah ini dengan kadar RM50 sebulan sebelum mengambil keputusan untuk membelinya dengan harga RM1,000.

"Sudah banyak wang dihabiskan untuk baik pulih terutama menukar tong air yang dijadikan pelampung dan kali terakhir kami menukarnya ialah pada enam tahun lalu dan kini ia semakin tenggelam," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Zalina berkata, sebanyak 36 tong air digunakan untuk menampung sebuah rumah rakit yang mana satu unit tong berharga RM60 dan keseluruhannya dianggarkan melebihi RM2,000.

RUMAH rakit yang didiami Zalina bersama keluarga di tepi Sungai Kelantan dekat Tangga Krai. FOTO Zaman Huri Isa
RUMAH rakit yang didiami Zalina bersama keluarga di tepi Sungai Kelantan dekat Tangga Krai. FOTO Zaman Huri Isa

Dia yang bekerja di kantin sebuah sekolah rendah berkata, dengan pendapatan dia dan suami sebagai tukang rumah yang tidak seberapa, agak sukar bagi mereka membaikpulih rumah yang semakin hari semakin tenggelam itu.

Menurutnya, dia ada membuat permohonan mendapatkan rumah di bawah bantuan mangsa banjir baru-baru ini namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas dari pihak berwajib.

"Kami kini hanya mampu berdoa semoga tong air yang menampung rumah ini mampu bertahan untuk sedikit masa lagi sementara kami mengumpul duit untuk membaiki ataupun permohonan mendapatkan rumah diluluskan.

"Bagaimana untuk kami menyediakan kos yang mencecah ribuan ringgit untuk menggantikan tong air sedangkan untuk perbelanjaan harian pun hanya cukup makan.

"Kami juga terpaksa membeli air bersih untuk kegunaan makan dan minum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 1:12 PM