REMAJA berkenaan. FOTO Ihsan PGA
REMAJA berkenaan. FOTO Ihsan PGA
Hazsyah Abdul Rahman


REMAJA Filipina ditangkap selepas disyaki menyeludup masuk rokok seludup di kawasan jeti Kampung Mangkalinau, Batu 3, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, suspek berusia 17 tahun diberkas bersama rokok seludup bernilai RM158,780.

Pegawai Memerintah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggotanya menjalankan Op Taring lalu mengesan sebuah bot jongkong masuk ke jeti terbabit.

Menurutnya, anggota bertugas kemudiannya bergegas menuju ke arah suspek sebaik tiba di daratan.

“Semasa dalam proses menahan, suspek bertindak agresif sehingga berlaku sedikit pergelutan dengan anggota bertugas.

“Namun, suspek berjaya ditahan lalu pemeriksaan mendapati, terdapat 8,500 kotak rokok seludup dalam bot jongkong suspek.

“Siasatan lanjut, suspek disyaki warga Filipina dan sudah berkahwin,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, suspek kemudiannya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Keseluruhan nilai rampasan rokok selepas cukai sebanyak RM158,780. Bot jongkong dengan dua enjin 40 kuasa kuda bernilai RM46,000.

“Siasatan diteruskan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 10:47 AM