ROKOK seludup dirampas di sebuah rumah kosong di Kampung Mangkalinau, Sandakan. FOTO  ESSCOM
ROKOK seludup dirampas di sebuah rumah kosong di Kampung Mangkalinau, Sandakan. FOTO ESSCOM
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Sebanyak 3,500 bungkus rokok seludup yang disembunyikan dalam rumah kosong, di Kampung Mangkalinau, berjaya ditemui dan dirampas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), hari ini.

ESSCOM berjaya merampas rokok yang dianggarkan bernilai RM52,500 dalam serbuan 2.30 pagi itu.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bertindak atas maklumat berkaitan pendaratan dan penyeludupan rokok seludup, sepasukan enam anggota Tiger Platun Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) diaturgerak ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian anggota PGA menemui beberapa kotak besar mengandungi rokok seludup.

"Pemeriksaan lanjut dalam tujuh kotak itu menemui 3,500 bungkus rokok yang dipercayai diseludup daripada negara jiran. Semua rokok dipercayai cuba diseludup ke daerah ini untuk pasaran tempatan.

"Hasil rampasan yang dianggarkan bernilai RM52,500 kemudiannya dibawa ke balai polis Sandakan untuk tindakan selanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fuad berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti dalang-dalang disebalik aktiviti penyeludupan di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 6:06 PM