AZZITA (kanan) bersama suami, Mohd Yunus (tengah) dan Shaari mengemas barangan di gerobok asnaf. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
AZZITA (kanan) bersama suami, Mohd Yunus (tengah) dan Shaari mengemas barangan di gerobok asnaf. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


BERPEGANG kepada prinsip rezeki perlu dikongsi mendorong wanita ini mewujudkan gerobok asnaf yang menyediakan keperluan makanan asas untuk golongan kurang berkemampuan.

Aktivis sosial, Azzita Aziz, 37, mengambil inisiatif itu untuk membantu golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim dengan menyediakan gerobok makanan di rumahnya di Taman Sri Wangsa 3, Seri Manjung dan di Surau Al-Badariah, Kampung Padang Tembak, Lumut.

Azzita berkata, antara barangan keperluan asas disediakan seperti minyak masak, tepung, beras, susu, kicap, sardin dan bihun hasil sumbangan orang ramai dan simpanan sendiri.

“Inisiatif itu dilakukan tiga tahun lalu bermula di rumah saya. Satu lagi gerobok ditempatkan di Surau Al-Badariah empat bulan lalu untuk memudahkan mereka yang memerlukan di kawasan itu.

“Gerobok asnaf ini bukan saja memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan tetapi membantu orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan mereka juga,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ibu kepada enam anak itu berkata, hampir setiap hari rumahnya didatangi mereka yang memerlukan tidak kira masa dari dalam dan luar Manjung.

“Pernah ada empat beranak menaiki motosikal dari Kampung Gajah ke rumah jam 1.30 pagi untuk meminta bantuan susu dan keperluan dapur yang amat menyentuh hati saya.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan orang ramai setakat ini, gerobok kami tidak putus bekalan.

“Selain itu, bantuan seperti ubat, lampin pakai buang dan katil turut disediakan,” katanya mengakui sokongan suami, Mohd Yunus Mohd Nor, 35, dan aktivis lain banyak membantunya dalam menjalankan kerja amal.

Katanya, atas dasar prihatin juga dia menyewa sebuah rumah sebagai transit untuk membantu individu yang menghadapi masalah keluarga, ibu tunggal dan mereka yang dihalau dari rumah sewa sementara mencari penyelesaian lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 3:28 PM