SURAU Al-Qudwah Prima Damansara menyediakan gerobok rezeki bagi memudahkan golongan asnaf mendapatkan keperluan asas. FOTO Ihsan Pembaca
SURAU Al-Qudwah Prima Damansara menyediakan gerobok rezeki bagi memudahkan golongan asnaf mendapatkan keperluan asas. FOTO Ihsan Pembaca
Sri Ayu Kartika Amri


“AJAIBNYA sumbangan yang diterima tak putus-putus dan ada penderma yang menghantar barangan menggunakan khidmat FoodPanda,” kata Pengerusi Surau Al-Qudwah, Prima Damansara di Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Noor Hashim.

Menurutnya, cetusan idea ahli surau mendirikan gerobok rezeki di surau berkenaan hampir dua tahun lalu, berjaya membantu pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan tidak mengira kaum, agama dan bangsa.

Mohd Noor berkata, Surau Al-Qudwah yang dibina dengan hasil titik peluh dan sumbangan kariah sendiri, tanpa bantuan wakil rakyat mahupun kerajaan itu sudah menjadi tumpuan golongan asnaf mendapatkan bekalan keperluan asas.

“Dan selalunya mereka yang datang ambil bantuan bukan sahaja penduduk sekitar sini, malah ada juga yang dari jauh, Kundang, Sungai Buloh, Rawang dan pelbagai bangsa.

“Gerobok rezeki ini boleh menempatkan sehingga 10 kampit beras berat 10 kilogram, susu, minyak masak, sos cili, kicap dan bermacam lagi.

“Syukur, sumbangan diterima tak pernah putus dan ramai yang menghulurkan sumbangan tanpa diminta,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Memandangkan ruang gerobok rezeki terhad, lebihan barang yang diterima akan disimpan dalam bilik simpanan khas.

“Kalau kurang, kami akan ambil dan isi semula ke gerobok rezeki. Namun, atas inisiatif ahli surau juga, kami akan mencari sendiri asnaf di sekitar sini dan menyampaikan sumbangan,” katanya.

Beliau berkata, usaha kariah Surau Al-Qudwah itu sewajarnya menjadi ikutan yang lain kerana pihaknya melihat gerobok rezeki ini sudah menjadi keperluan penting terutama di kawasan bandar.

“Walaupun berada di kawasan bandar, mereka yang miskin bandar ini lebih kasihan kerana ada yang kami temui keluarga asnaf sampai dua hari tidak makan.

“Malah, ada yang sampai tahap hendak terjun bangunan akibat kesusahan hidup,” katanya selain memberi bantuan barangan, pihak surau juga membantu asnaf setempat berupa pemberian wang tunai (hasil kutipan ahli surau).

Katanya, bagi mereka yang ingin menyumbang boleh berkunjung ke Surau Al-Qudwah dan pihaknya menerima apa sahaja jenis barangan kering.

“Lazimnya, barang yang kami selalu terima adalah beras, bihun, susu tin, sardin, garam, Maggi, kicap, sos cili dan barang kering lain.

“Gerobok rezeki ini sentiasa terbuka untuk penyumbang dan juga mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 9:32 PM