LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Hairulazim Mahmud


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menegaskan pemegang status Pas Sementara Sabah (PSS) kekal sebagai warga asing.

KDN dalam kenyataannya berkata, dokumen itu juga bukan jaminan untuk diberikan permit masuk, taraf pemastautin sementara, pemastautin tetap atau kewarganegaraan.

Katanya, PSS bukan untuk memberikan kewarganegaraan, sebaliknya satu inisiatif murni kerajaan untuk menangani masalah pemalsuan dokumen di Sabah.

“Ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan nombor ID bagi memudahkan proses pengecaman, semakan serta pengesahan semasa operasi penguatkuasaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan itu di Putrajaya, hari ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan, mulai 1 Jun tahun ini, pengeluaran PSS hanya akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen (JIM) Sabah selepas permohonan diperakukan kerajaan negeri.

Katanya, proses semakan silang antara agensi pengeluar iaitu JIM, Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dilaksanakan bagi memastikan pemohon yang memegang dokumen yang tulen sahaja layak untuk dikeluarkan PSS.

Sehubungan itu, katanya, pasukan petugas khas ditubuhkan di peringkat negeri yang dipengerusikan JKM dan MKN negeri dengan dianggotai pelbagai agensi bagi meningkatkan tadbir urus berkesan dalam pelaksanaan dasar serta pemantauan operasi dokumen itu.

“Kerajaan ingin mengingatkan semua pihak supaya merujuk kepada sumber yang sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab cuba memutarbelitkan fakta demi agenda sendiri,” katanya.

Isu PSS dimainkan pembangkang dalam kempen mereka menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis ketika ini.

Barisan Nasional (BN) mendakwa, PSS adalah satu ancaman kepada penduduk tempatan Sabah dan menyifatkannya sebagai penipuan Parti Warisan Sabah (WARISAN) terhadap rakyat negeri itu.

Pada 6 September lalu, kerajaan mengumumkan PSS akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun ini.

PSS akan menggantikan ketiga-tiga jenis dokumen sedia ada dimiliki warga asing yang sudah lama menetap di negeri berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 4:53 PM