GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Johor Bahru: Seorang lelaki ditahan polis semalam selepas disyaki terbabit dengan kes samun bersenjata di Jalan Merbau 2, Bandar Putra, Kulai, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Merbau 18 Bandar Putra, pada 11.30 pagi.

Beliau berkata, penahanan itu adalah susulan satu laporan polis yang dibuat mangsa kira-kira pukul 9.30 malam, pada hari kejadian.

Katanya, mangsa memberitahu dia didatangi dua orang lelaki ketika di tepi jalan berkenaan sebelum suspek mengeluarkan sebilah pisau lipat untuk mengugutnya.

"Suspek mengacukan pisau itu ke arah leher mangsa untuk memintanya menyerahkan barangan berharga. Selepas menuruti permintaan itu, mangsa kemudian dibawa ke sebuah rumah di Jalan Merbau 18 Bandar Putra dan dipukul di bahagian badan dan kepala sehingga pengsan.

"Pada keesokannya (semalam), mangsa yang sedarkan diri kira-kira 8.30 pagi berjaya melarikan diri daripada suspek," kata beliau menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, selain menahan suspek, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebilah pisau pemotong daging dianggarkan berukuran 30cm dan sebilah pisau lipat.

"Daripada siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas.

"Berdasarkan semakan, suspek juga didapati memiliki dua rekod jenayah manakala ujian air kencing dibuat mendapati suspek positif dadah methamphetamine," katanya.

Beliau memberitahu suspek kini dikenakan reman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 495/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 10:12 PM