GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Shahrinnahar Latib


PERBUATAN seorang jurutera wanita di Kuantan berkongsi gambar bogel kononnya bagi mendapat kelulusan pinjaman wang membawa padah apabila menjadi mangsa peras ugut sehingga menyebabkan kerugian RM17,985.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula awal Disember lalu apabila mangsa berusia 29 tahun terlihat iklan pinjaman wang di Facebook.

“Mangsa kemudian memberi butiran peribadinya. Pada 25 Disember lalu, mangsa menerima mesej Whatsapp daripada seorang lelaki yang menawarkan pinjaman kepadanya.

“Wanita itu kemudian menyerahkan salinan kad pengenalan, penyata gaji, penyata akaun bank, bil utiliti dan gambar bogel kepada suspek bagi tujuan mendapat pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, selepas 30 minit, mangsa dimaklumkan pinjaman yang dipohon sebanyak RM5,000 sudah diluluskan.

“Namun mangsa diminta membuat bayaran guaman dan diugut gambar bogel itu akan disebarkan jika tiada bayaran dibuat.

“Bermula pada 25 hingga 29 Disember lalu, mangsa membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza sebanyak RM17,985 melalui 13 transaksi,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, suspek masih lagi meminta bayaran sebanyak RM15,000 namun jurutera wanita itu enggan.

“Mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 11:04 AM