FOTO hiasan
FOTO hiasan
Shahrinnahar Latib


MALANG berganda buat peniaga kraftangan di Bandar Jengka, Maran apabila ditipu dua sindiket pinjaman tidak wujud dalam tempoh kurang sebulan mengakibatkan kerugian RM18,480.

Dalam kejadian pertama pada 16 November lalu, wanita berusia 39 tahun itu berhubung dengan ejen wanita untuk bertanya bagaimana cara membuat pinjaman wang melalui sebuah syarikat kononnya beroperasi di Johor Bahru, Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, selepas membuat perbincangan, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman wang sebelum dihubungi seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Encik Hafiz’.

“Suspek kedua ini meminta mangsa mengemukakan maklumat peribadinya iaitu gambar kad pengenalan, gambar sijil SSM, laporan akaun bank tiga bulan. Mangsa juga diminta membayar bayaran insurans takaful sebanyak RM480.

“Bagaimanapun, selepas memasukkan bayaran berkenaan, suspek meminta lagi pelbagai bayaran termasuk bayaran membuka akaun, bayaran guaman dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas membayar semua bayaran yang diminta, suspek sekali lagi meminta mangsa membuat pembayaran bagi deposit penghantaran cek berjumlah RM6,000, tetapi dia tidak membuat pembayaran itu kerana menyedari ditipu.

“Bagaimanapun, mangsa masih lagi tidak serik apabila pada 6 Disember lalu, pengadu sekali lagi menerima panggilan daripada seorang wanita yang menawarkan pinjaman wang dan memberitahu syarikatnya boleh membantu dengan memberi pinjaman itu.

“Suspek meminta maklumat peribadi mangsa seperti sindiket yang sebelum ini iaitu maklumat kad pengenalan, sijil SSM, penyata akaun bank selama tiga bulan serta bil air rumah untuk proses pinjaman.

“Mangsa bersetuju membuat pinjaman berkenaan sebelum membuat pembayaran berjumlah RM950 sebagai deposit. Namun, selepas membuat pembayaran itu, suspek masih lagi meminta pelbagai bayaran sebelum pinjaman berkenaan dimasukkan ke dalam akaunnya,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas selesai mangsa memasukkan wang yang diminta, suspek mendakwa wang pinjaman berkenaan akan didepositkan ke dalam akaunnya, namun sehingga hari ini masih belum menerima wang itu.

“Mangsa yang tidak berpuas hati selepas ditipu oleh dua sindiket berkenaan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, semalam supaya siasatan lanjut dapat dilakukan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa memindahkan wang ke dalam enam akaun bank yang berbeza selepas ditawarkan pinjaman peribadi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM18,480.

“Kita sudah mengambil keterangan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 2:47 PM