Shahrinnahar Latib


PESARA kerajaan di Kuantan berputih mata apabila kerugian RM7,000 selepas diperdaya seorang lelaki menyamar sebagai pegawai polis dengan nama ‘Tuan Kamarudin’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa iaitu wanita berusia 62 tahun terbabit kes dadah dan pengubahan wang haram.

“Kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada wakil Alliance Bank menyatakan dia mempunyai tunggakan pinjaman sebanyak RM2,025 bagi jumlah pinjaman RM40,000.

“Malah waran tangkap juga sudah dikeluarkan terhadap mangsa, mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan itu disambungkan kepada ‘Tuan Kamarudin’ yang kononnya sebagai pegawai polis daripada IPK Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, ‘Tuan Kamarudin’ kemudian menyuruh mangsa memasukkan kesemua wang simpanannya ke dalam satu akaun yang diberikan atas alasan untuk membuat semakan akaun.

“Mangsa memindahkan wang berjumlah RM7,000 ke dalam satu akaun yang diberikan, selepas memasukkan wang itu mangsa gagal menghubungi lelaki berkenaan sebelum datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam untuk membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita di Pekan kerugian RM4,640 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud yang menggunakan WhatsApp, minggu lalu.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 4 Oktober lalu apabila mangsa berusia 43 tahun menerima mesej iklan melalui WhatsApp yang kononnya daripada Syarikat Quick Credit PTE LTD.

“Mangsa yang berminat membuat pinjaman wang kemudian menghantar penyata gajinya kepada suspek dan memberi tahu dia layak membuat pinjaman sebanyak RM20,000 dan bayaran balik sebanyak RM242 selama 120 bulan.

“Untuk tujuan itu mangsa diminta membuat pelbagai bayaran termasuk guaman, insuran dan wang pendahuluan menjadikan jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa sebanyak RM4,640,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang pinjaman wang seperti dijanjikan dan membuat laporan polis di IPD Pekan, semalam.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 11:54 AM