KEADAAN jalan rosak yang boleh membahayakan nyawa penduduk Orang Asli Pos Tuel yang melaluinya setiap hari. FOTO Paya Linda Yahya
KEADAAN jalan rosak yang boleh membahayakan nyawa penduduk Orang Asli Pos Tuel yang melaluinya setiap hari. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Hampir 1,000 penduduk Orang Asli Pos Tuel, di sini, terpaksa bergadai nyawa menggunakan jalan yang rosak untuk menghantar anak ke sekolah setiap hari.

Penduduk mendakwa jalan yang sudah runtuh sebahagiannya itu sudah berlarutan hampir dua tahun dan sehingga kini masih belum dibaiki.

Difahamkan jalan terbabit juga adalah jalan utama untuk keluar dari penempatan terbabit ke Bandar Gua Musang.

Penduduk Pos Tuel, Andol Busu, 55, berkata, lebih membimbangkan penduduk apabila tiba musim tengkujuh kerana laluan itu semakin terhakis.

Katanya, isu berkaitan jalan itu sudah disiarkan di media dan dirujuk kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih belum ada tindakan susulan.

"Jadi kami berharap pihak berwajib dapat segera membaiki jalan itu tambahan pula semakin tiba musim tengkujuh.

"Sepanjang jalan berisiko mengalami tanah runtuh yang boleh membahayakan nyawa penduduk di sini.

"Jalan terbabit adalah satu-satunya laluan yang kami gunakan untuk keluar masuk ke Pos Tuel ini dan digunakan setiap hari penduduk," katanya ketika ditemui di Pos Tuel, di sini.

Sementara itu, Penghulu Pos Tuel, Halim Sharif berkata, masalah jalan rosak itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.

Katanya, pada musim tengkujuh tahun lalu berlaku tanah runtuh sehingga menyebabkan penduduk di Pos Tuel terputus hubungan.

"Sepanjang 20 kilometer laluan itu terdapat juga beberapa tempat yang berisiko mengalami tanah runtuh. Jadi kami risau dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, tanah runtuh boleh berlaku pada bila-bila masa dan membahayakan nyawa penduduk.

"Saya sudah beberapa kali membuat permohonan agar menaik taraf laluan itu tetapi sampai sekarang tiada usaha untuk membaiki kerosakan. Sebelum ini saya juga merujuk masalah ini kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing namun sehingga kini masih lagi tiada jawapan," katanya.

Katanya, antara penduduk yang sering menggunakan laluan itu ialah dari Kampung Tuel, Kampung Hanir, Kampung Ber, Kampung Poh dan Kampung Kerbok.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pihaknya dimaklumkan peruntukan bagi membina jalan berkenaan sudah diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau berharap agar pelaksanaan projek menaik taraf jalan perkampungan Orang Asli itu dapat dilakukan secepat mungkin agar kesukaran serta keselamatan penduduk kampung penduduk terbela.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 3:32 PM